Setelah lebih 28 tahun mendambakan diri dalam dunia seni khususnya
nyanyian, pelantun lagu Lagenda iaitu Dato' Sheila Majid juga kini layak
dilabel the living legend apabila melihat pencapaian dan kejayaan yang
diraihnya dalam jangka waktu tersebut.
Ratu jazz pujaan negara dan tanah seberang yakni Indonesia ini juga
tidak pernah sepi dengan pelbagai aktiviti seni yang disertainya. Yang
terbaru bakal menemui peminat adalah konsert amal One Night Only Charity
Concert Live at Dewan Filharmonik Petronas (DFP) yang menggandingkan
Dato' Sheila Majid dan lagenda seberang Harvey Malaiholo.
Namun khabarnya tiket untuk konsert ekslusif dua nama besar dalam
industri muzik Malaysia dan Indonesia yang bakal berlangsung pada 8
Oktober itu telah habis dijual. Dato' Sheila atau nama sebenarnya
Shaheila Abdul Majid turut berkongsi perasaan menjelangnya konsert
tersebut tidak lama lagi.
"Dapat membuat persembahan di iringi sekumpulan pemuzik hebat di Dewan
Filharmonik Petronas adalah satu perasaan yang mengujakan tentunya.
Apatah lagi dengan gandingan bersama Harvey Malaiholo ia menambah lagi
keterujaan saya untuk konsert ini.
"Harvey juga bukanlah individu yang asing dengan saya kerana tahun
lepas dia telah menjemput saya membuat persembahan pada ulangtahun ke 30
penglibatannya dalam dunia seni di Jakarta. Tetapi bila kami berdua
dipilih untuk berkongsi pentas dalam konsert, saya terharu dan begitu
juga Harvey ketika dihubungi.
"Mengenai konsep persembahan dan pemilihan lagu itu saya tidak mahu
reveal kerana ia akan menjadi kejutan buat penonton yang hadir nanti.
Pada siapa yang belum memiliki tiket, khabarnya tiket sudah sold out di
kaunter tiket online.
"Tetapi jika ada yang belum membeli mungkin boleh menghubungi DFP atau
kaunter tiket online untuk bertanyakan mengenai status sebenar penjualan
tiket konsert tersebut,"ujarnya yang ditemui pada majlis berbuka puasa
bersama persatuan KARYAWAN yang diadakan di Saloma Bistro, Jalan Ampang,
semalam.
Hadir ditemani suami, Hasridz Murshim Hashim atau Acis, Dato' Sheila
Majid antara undangan yang turut sama meraikan para artis veteran dalam
acara berbuka puasa anjuran KARYAWAN yang turut dihadiri Menteri
Kebudayaan dan Pelancongan iaitu Datuk Seri Nazri Abdul Aziz.
Pada majlis tersebut juga KARYAWAN diwakili Presiden, Dato' Freddie
Fernandez telah memberikan sumbangan kepada para artis veteran seperti
Zaiton Sameon, Z. Lokman, Dato' M Daud Kilau, Samsudin Lamin dan ramai
lagi yang hadir pada majlis tersebut. - Murai