Usaha pihak media untuk mendapat
keterangan selebriti yang kini diburu dek kisah perkahwinannya kali
kedua nyata gagal apabila kelibat Ashraf Muslim tiada di sebuah program
ilmiah yang menampilkan dia sebagai panel.
Ashraf sepatutnya hadir untuk program bual bicara 'Bicara Cinta Anak
Muda, Bersihkan Hati Sucikan Jiwa' yang menampilkan dia dan Sham
Kamikaze sebagai panel bersama Ustaz Iqbal Al Ensuri manakala menjadi
moderator.
Program yang dibuat di perkarangan Medan Mara Kuala Lumpur ini adalah
anjuran Majalah -I dan ditaja oleh Bank Muamalat telah diacarakan oleh
DJ Lin dari Suria FM.
Berbalik kepada kisah Ashraf Muslim yang tidak kelihatan di atas pentas
sebagai panel, wakil Media cuba mendapatkan komen daripada salah
seorang wakil penganjur yang juga rakan kongsi Ashraf Muslim untuk
produk Solat Perfume yang turut dijual di perkarangan lokasi tersebut.
"Saya dihubungi Ashraf pada pagi ini dan dia memohon maaf kerana tidak
dapat hadir kerana masih demam dan badannya masih lemah. Masa dia
telefon dia sedang berada di klinik mendapat rawatan. Lagipun dengan
situasi sekarang dia belum bersedia untuk berdepan dengan umum kerana
bimbang kesihatannya akan menjadi lebih teruk.
"Rencana menjemput Ashraf sebagai panel untuk acara ini telah lama
diaturkan. Bukan kerana cerita-cerita mengenainya itu kami menjemputnya.
"Pada awal Ramadan lalu dia dan Noor Dayana ada ke sini dan berbuka
puasa bersama selepas melawat booth Solat Perfume Ashraf Muslim di sini
ada bertanyakan mengenai program bual bicara ini.
"Dia masih maklum mengenai hal ini cuma pada hari ini dia memang kurang
sihat dan memohon maaf tidak dapat bersama-sama menjayakan program
ini,"ujar Mohd Taqiyuddin salah seorang penganjur dan rakan kongsi Solat
Perfume Ashraf Muslim mengenai perkara ini. - Murai