PELAKON popular tahun 1980-an, iaitu Rosnah Mohd Noor, 54, meninggal
dunia pada pukul 2.55 petang Ahad di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dekat
sini.
Menurut rakannya, Zaridah Ishak, Allahyarham meninggal dunia di wad Onkologi hospital itu kira-kira pukul 2.55 petang Ahad.
“Rosnah sudah pun meninggal dunia pada pukul 2.55 petang tadi. Dan
kini saya bersama keluarganya sibuk menguruskan jenazah. Buat masa ini
kami belum pasti lokasi pengebumiannya.
“Kami sedang berbincang,” katanya ringkas ketika dihubungi mStar Online kira-kira pukul 3.30 petang Ahad.
Terdahulu, mStar Online pada 27 Februari lalu pernah melaporkan
Rosnah dimasukkan ke HKL apabila tulang pada bahagian paha kirinya patah
akibat kesan komplikasi pelbagai penyakit termasuk kanser payudara yang
dihadapinya sebelum ini.
Allahyarham sering mendapatkan rawatan di HKL akibat penyakitnya itu.
Sepanjang penglibatannya dalam dunia seni, Rosnah telah berlakon
beberapa buah filem antaranyaHantu Siang (1986), Di Ambang Kasih (1984),
Aku Yang Berhormat (1983), Esok Untuk Siapa (1982) dan Ribut Di Hujung
Senja (1982).
Hasil perkahwinannya dengan penyanyi dangdut Iwan, beliau dikurniakan
tiga orang anak iaitu Wan Ramada Agus Putra, 24, Wan Shamira Puteri
Octavia, 22, dan Wan Shahera Puteri Apreena, 20.
Wan Ramada sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang seni bina di
Australia manakala anak bongsunya pula belajar di sebuah kolej swasta
Kuala Lumpur.
Rosnah turut memiliki seorang cucu yang berusia setahun hasil perkahwinan anak keduanya.
Beliau juga sudah berpisah dengan seorang usahawan iaitu perkahwinan keduanya kira-kira dua tahun lalu. – mStar