Syamsul Mengaku Sudah Ada Kekasih Hati

Syamsul YusofKUALA LUMPUR – Pengarah dan pelakon lelaki yang juga anak kepada pengarah terkenal, Syamsul Yusof, 28, mengakui sudah mempunyai kekasih hati walaupun dia telah mencuba sedaya upaya menyorok kisah cintanya.
Bercinta sejak setahun lalu, Syamsul juga mengaku sangat gembira dalam meniti hari bahagia bersama kekasihnya walaupun jarang bersua muka.
Walaupun sudah berkenalan dengan gadis pilihannya, Syamsul masih lagi belum bersedia untuk berbicara tentang alam perkahwinan.
Menerusi laman portal Murai.com, Syamsul berkata, dia akan mengumumkan bila tibanya hari bahagia dia bersama kekasih jika sudah tiba waktunya.
“Alhamdulillah, sekarang ini saya sedang bahagia dengan dia. Sebenarnya, saya belum betul-betul bersedia hendak bercakap soal kahwin. Nantilah, apabila dah sedia sepenuhnya saya akan umumkan pada semua.
“Tetapi, saya mengaku sedang bahagia dan bersyukur kerana dia seorang wanita yang betul-betul memahami karier saya sebagai pengarah dan pelakon.
“Saya pun agak jarang berjumpa dengan dia. Malah, sudah sebulan lebih saya tidak berjumpa dengannya. Kami hanya berbual menerusi telefon saja. Mengikut perkiraan, sudah lebih setahun saya menjalinkan hubungan cinta bersama,” kata Syamsul.
Meski pun masih lagi tidak bersedia untuk berbicara mengenai perkahwinan, Syamsul sebenarnya mempunyai perancangannya sendiri sebelum bergelar suami orang.
Syamsul sudah pun meletakkan sasaran untuk berkahwin apabila umurnya mencecah usia 30 tahun iaitu dua tahun lagi.
Bagi Syamsul, dia bukan sengaja untuk merahsiakan hubungan cintanya.
Tetapi, dia lebih melihat kisah cintanya adalah terlalu peribadi buat dirinya dan cukuplah sekiranya dia, kekasih dan keluarga masing-masing mengetahui hubungan cinta yang terjalin.
“Insya-Allah, saya akan berkahwin sebelum usia saya mencecah 30 tahun.Lebih kurang 2 tahun saja lagi. Sejujurnya, saya bukannya nak sembunyikan hubungan saya dengan dia. Ini soal peribadi dan saya harap peminat saya faham.
“Setakat ini, keluarga kedua-dua belah pihak tahu kami berkawan tapi masih belum ada berkesempatan untuk berjumpa keluarga masing-masing. Sekarang ini, kekasih saya bekerja sambil belajar di sebuah kolej.
“Dia mengambil jurusan perubatan tapi bukannya seorang doktor. Sekali lagi,saya tak mahu kecoh dan kalau boleh saya mahu cuba membahagikan bidang glamor dan kerjaya dengan seimbang,” katanya.
Sebelum ini, Syamsul pernah menjalin hubungan cinta dengan pelakon cantik, Diana Danielle.
Namun, hubungan mereka tidak kesampaian dan terputus dek kerana pergaduhan timbul antara mereka.- mynewshub

0 Comments